Satukan Melayu: Deklarasi 25 NGO sepakat tubuh Barisan Bertindak Perpaduan

oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
(sumber: www.utusan.com.my)

Sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam sepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Penubuhan itu adalah pelan bertindak utama Deklarasi Maulidur Rasul yang diisytiharkan dalam satu mesyuarat dihadiri wakil pertubuhan terbabit, di sini hari ini.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, bagi merealisasikan hasrat penubuhan badan bertindak itu, pihaknya akan mengadakan satu perhimpunan orang Melayu dan Islam bersandarkan roh sambutan Maulidur Rasul di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Katanya, pada masa ini tarikh dan lokasi muktamad perhimpunan itu belum ditetapkan namun BBPM akan berusaha mengadakannya dalam tempoh sebulan.

“Sempena perhimpunan itu, kami akan mengadakan satu forum perpaduan Melayu bagi menyatupadukan semua kepimpinan Melayu dan Islam tanpa mengira pegangan politik mereka.

“Sebagai orang tengah, kami akan jemput wakil dua parti terbesar yang menaungi orang Melayu dan Islam di negara ini iaitu UMNO dan Pas,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Antara pertubuhan amal Melayu dan Islam yang mendukung penubuhan BBPM ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mengenai penyertaan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, beliau berkata, jemputan akan dibuat kepada para pemimpin Melayu dan Islam dalam parti itu selepas mereka mengisytiharkan komitmen terhadap perjuangan bangsa.

Osman berkata, pihaknya juga akan menjemput tokoh-tokoh Melayu dan Islam terkemuka dalam bidang akademik, ekonomi, pendidikan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pandangan mereka.

Beliau berkata, adalah penting bagi semua orang Melayu, tanpa mengira ideologi politik diberi kesedaran mengenai apa yang akan berlaku kepada bangsa sekiranya masalah perpecahan itu tidak ditangani segera.

Katanya, perpecahan itu juga menyebabkan dasar-dasar kerajaan yang selama ini menjaga kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dicabar perlaksanaannya.

‘‘Perbincangan itu akan difokuskan kepada isu apakah yang terbaik perlu dilakukan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Kita mahu menghidupkan semula jati diri Melayu yang unggul seperti era sebelum mencapai kemerdekaan dan tahun terawal selepas itu,” katanya yang menjangkakan forum itu bakal dihadiri lebih 2,000 penonton.

Ditanya mengenai kemungkinan penubuhan BBPM akan menimbulkan keresahan kaum lain, beliau berkata, perkara itu tidak perlu dikhuatiri kerana pihaknya akan turut mempertahankan hak-hak kaum lain.

Katanya, usaha memperkasa perpaduan nasional dan semangat muhibah antara kaum akan diperhebat melalui penganjuran Dialog Perpaduan Nasional dengan kerjasama NGO pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Negara ini dibentuk oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, kerana persefahaman tiga kaum inilah kita berjaya mencapai kemerdekaan.

“Apa yang kami perjuangkan ialah pembelaan hak-hak orang Melayu dan pada masa yang sama mempertahankan hak kaum lain di negara ini,” tegasnya.

Osman berkata, BBPM juga akan menggalakkan pembentukan rangkaian kumpulan bertindak perpaduan Melayu di seluruh negara bagi memastikan semua peringkat masyarakat mendapat maklumat tepat mengenainya.

Katanya, apa yang dibincangkan di peringkat atasan akan disalurkan menerusi rangkaian BBPM di peringkat negeri dan daerah.



Ulasan

Catatan Popular