Kenapa Kedah bergolak? Satu penelitian geo-ekonomi serantau

Sebuah rencana yang di copy paste melalui website:  http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/02/24/kenapa-kedah-bergolak-satu-penelitian-geo-ekonomi-serantau/
February 24, 2016 
Daripada China Energy hingga ke Tun Daim Zainuddin, penulis mencicip nama-nama syarikat, bank dan individu tertentu dalam satu lakaran politik Kedah yang berlatarkan kebangkitan kuasa baharu dunia: China. 


kedah

Oleh Wan Ahmad Fayhsal

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya, apa yang sudah berlaku berhubung politik negeri Kedah? Mengapa pertukaran Menteri Besar berlaku dalam keadaan yang penuh polemik sehingga mengundang kemarahan rakyat jelata? Jawapan mudah sudah tentu melibatkan pertembungan individu antara mantan Menteri Besar dan yang sedia ada tapi itu masih belum memberi penjelasan yang tuntas akan langkah politik ini.
Mungkin ada baiknya kita cuba menilai pergolakan politik Kedah dalam sudut pandang yang jauh lebih besar iaitu kepentingan strategik Kedah bukan saja untuk kerajaan persekutuan tetapi juga negeri Kedah dalam peta geopolitik semasa melibatkan kuasa besar China.

Kepentingan China di rantau Timur Tengah dan Asia

Di tengah-tengah pergolakan politik Kedah, terdapat satu perubahan geopolitik yang amat besar sedang berlaku di Timur Tengah yang bakal memberi kesan kepada Malaysia khususnya negeri Kedah untuk jangka masa panjang.

Setelah berpuluh tahun lamanya sekatan ekonomi dikenakan ke atas Iran, tahun ini dunia menyaksikan bagaimana sekatan tersebut telah dilonggarkan oleh Amerika Syarikat yang merupakan musuh ketat Iran – satu langkah yang mengundang seribu satu persoalan.

Buat pertama kalinya Iran diberi ruang perdagangan yang luas bukan saja untuk menerima pelaburan luar dari negara Barat malah membolehkan dunia mendapatkan bekalan minyak dan gas Iran yang amat kaya itu. Antara negara dunia yang sudah pun memeterai perjanjian secara besar-besaran dalam hal ini dengan Iran ialah China.

Baru-baru ini dalam jelajah Timur Tengah, Presiden China, Xi Jinping telah menandatangani 17 perjanjian dengan Presiden Iran, Hassan Rouhani melibatkan sektor tenaga, perdagangan dan industri. Kedua-dua bertekad untuk menggandakan nilai hubungan perdagangan bilateral antara mereka sampai USD 600 bilion dalam 10 tahun akan datang melalui jaringan perdagangan yang diterajui China – Laluan Sutera moden yang menghubungkan keseluruhan Asia dan juga Eropah.

Dalam kesemua perjanjian China-Iran, yang terpenting ialah melibatkan minyak dan gas.

Strategi penting China dalam Laluan Sutera moden adalah memastikan keperluan logistik untuk mengangkut minyak dan gas Iran dapat dijamin dari segi bekalan dan keselamatan logistik penghantaran. Kerisauan ini timbul kerana apa yang pernah disebutkan oleh mantan Presiden China, Hu Jintao sebagai “Dilema Melaka” di mana hampir 80% sumber tenaga keperluan China dan negara-negara Asia Timur seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan perlu melalui Selat Melaka dan Laut Cina Selatan.

Kebergantungan yang terlampau ke atas Selat Melaka bakal mendedahkan China kepada ancaman dan risiko yang tidak diingini – lebih-lebih lagi kini Amerika Syarikat mempergiatkan operasi “Freedom of Navigation” yang bertujuan untuk memantau pergerakan China di perairan Laut China Selatan dan sekitarnya.

Sebarang musibah (seperti ancaman lanun dan pengganas) yang boleh jejaskan pengangkutan minyak dan gas mereka di perairan Selat Melaka – laluan laut terpenting yang menghubungkan Timur Tengah dengan Laut Cina Selatan – akan melemahkan ekonomi dan politik China untuk jangka masa panjang.

Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan China di bawah perancangan Laluan Sutera moden telah mempelbagaikan laluan pengangkutan minyak dan gas dari Timur Tengah melalui jalan darat seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada Selat Melaka.

Antara dua projek terbesar untuk inisiatif ini ialah laluan daripada pelabuhan laut dalam Gwadar di daerah Baluchistan, selatan Pakistan yang menjadi transit terawal minyak dan gas yang keluar daripada Selat Hormuz yuntuk dibawa melalui jalan darat lebuh raya Karakoram sehinggalah tembus ke Barat China iaitu Kashgar.

Transit kedua yang China sedang bina ialah laluan paip minyak dan gas asli dari pelabuhan laut dalam Kyaukphyu, Myanmar berhampiran Teluk Bengal sampailah di bawa merentasi Mandalay, Lashio dan tamat di Kunming (untuk minyak) dan di Guangxi (gas asli).

Walaupun China telah berjaya memulakan projek-projek besar Laluan Sutera moden di Pakistan dan Myanmar dengan mengurangkan kebergantungan kepada Selat Melaka, terdapat satu lagi kawasan yang China belum sempat laksanakan perancangan yang sama iaitu di pintu keluar Laut Andaman yang juga merupakan pintu masuk Selat Melaka.

Di sinilah Kedah selaku ‘penjaga’ pintu Selat Melaka memiliki kepentingan geostrategik untuk China kerana geografi Kedah amat mirip dengan apa yang ada di Gwadar dan Kyaukphyu.

ZIPY
 
Jikalau diteliti menggunakan kerangka geo-ekonomi, mega projek terbesar Kedah iaitu Zon Industri Petroleum Yan atau lebih dikenali sebagai ZIPY bakal mengikuti jejak langkah Gwadar (Koridor Ekonomi China-Pakistan – CPEC) dan rangkaian Kawasan Ekonomi Khas (Special Economic Zone) Kyaukphyu.

Ianya bukan lagi spekulasi bilamana pada penghujung 2014, perjanjian kerjasama antara Merapoh Resources Sdn Bhd (Merapoh) dan China Energy H City Realty Investment Co. Ltd (China Energy) – sebuah syarikat yang dimiliki oleh kerajaan China telah dimeterai untuk mempercepatkan projek ZIPY.

Sejak tahun 2005 lagi, dengan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPKN), Merapoh telah ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) yang diberi hak eksklusif lesen dan permit untuk memajukan keseluruhan projek ZIPY.

Setelah perjanjian terbaru dimeterai pada tahun 2014, Merapoh telah mendapat suntikan dana hampir RM 70 bilion daripada China Energy yang turut menjadi pemegang saham terbesar Merapoh (70%) manakala selebihnya dipegang oleh Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Merapoh – Md Nazri Ramli dan Petrobanq Sdn Bhd yang mana Md Nazri Ismail adalah pemegang terbesar di dalamnya.

Projek ZIPY turut mendapat sokongan yang besar daripada para usahawan yang berpengalaman luas bilamana buat pertama kalinya penasihat utama Merapoh iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Tajuddin Ramli tampil di khalayak awam ketika majlis pemeteraian tersebut berlangsung.

Melihat kandungan perjanjian ini, komitmen kerajaan China melalui China Energy tidak boleh disangkal lagi. Mereka bukan saja ingin memperluaskan skala projek ZIPY malah berusaha mempercepatkan kerja-kerja pembinaan agar operasi ZIPY dapat berjalan seperti yang telah dirancang.  

Kedah dalam Laluan Sutera China

Tidak sukar untuk kita fahami betapa pentingnya projek ini kepada kerajaan China. 8% keperluan minyak dan produk petrokimia China akan ditapis dan diproses di ZIPY bersamaan dengan 350,000 tong sehari sebelum dihantar ke China samada melalui jalan darat merentasi Thailand atau merentasi Kedah dan keluar di Kelantan. Ini memendekkan jalan pengangkutan melalui Selat Melaka yang sibuk.

Tidak hairanlah syarikat minyak gergasi China – China National Petroleum Company (CNPC) merupakan pembeli utama minyak dan produk petrokimia ZIPY yang akan dihantar daripada Timur Tengah.

Bukan itu saja, kita dapat lihat melalui perkembangan geopolitik semasa dengan peluncuran strategi Laluan Sutera moden, projek ZIPY ini secara tersiratnya sudah pun berada dalam agenda penting strategi logistik kerajaan China.

Buktinya dapat dilihat kalau dibanding bedakan dengan projek Gwadar dan Kyuakphyu yang mana penglibatan syarikat-syarikat milik kerajaan China adalah menyeluruh.

Sebagai pemegang majoriti Merapoh, China Energy yang mewakili kerajaan China memiliki kuasa mutlak untuk merencana projek daripada segenap segi – sesuai dengan pelaburan yang dibawa masuk yang mana kesemuanya akan ditanggung oleh kerajaan China melalui dua bank gergasi mereka iaitu Bank Eksport-Import China dan Bank Industri dan Komersial China (ICBC).

China Energy juga telah melantik syarikat-syarikat milik kerajaan China untuk melancarkan keseluruhan projek ini yang melibatkan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC):
  • kompleks loji penapisan minyak ianya akan diketuai oleh anak syarikat CNPC iaitu China Huanqui Contracting & Engineering Corporaton.
  • kompleks integrasi petrokimia dan fasiliti penyimpanan diberi kepada China State Construction Engineering Complex and Storage Corporation (CSCFC).
  • projek bantuan pembekalan kuasa, unit kecemasan akan dipacu oleh Guandong Baian Machine Electricity Fire Fighting Installation Engineering Co. Ltd.
  • projek-projek kompleks pentadbiran, perumahan dan kemudahan perkerja ZIPY akan direncana oleh China Railway Engineering Design Institute Co. Ltd. manakalah pembinaan sivil diberikan kepada China Building Technique Group Co. Ltd.
Bagi projek-projek luar persisiran laut, struktur penyimpanan dan pemindahan, terapung terminal marin pelbagai guna akan direka dan dibina oleh Universiti Zhejiang.

Durian Runtuh

Biarpun Merapoh merupakan syarikat tujuan khas tempatan yang memiliki lesen dan permit untuk memajukan ZIPY, keseluruhan pelaburan dan kerja-kerja sebenar akan ditanggung dan dilakukan oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat milik kerajaannya.

Kerajaan negeri Kedah hanya perlu bersedia menerima, seperti tertera dalam memorandum perjanjian projek, pendapatan yang cukup lumayan melalui royalti – dengan sasaran hampir RM 400 juta setahun – dan sewaan tanah yang mencakupi keluasan sebanyak 340 hektar (luar persisiran pantai) dan 40 hektar tanah daratan. Kesan limpahan projek ZIPY ini juga akan menjana kira-kira 30,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dalam pelbagai sektor. Merapoh menganggarkan pelaburan berjumlah RM 520 bilion akan masuk melalui projek ini kelak secara berperingkat. Jelas projek ZIPY ini bakal mengubah sosio-politik dan ekonomi negeri Kedah.

Apa bakal berlaku?

Tahun 2016 menyaksikan pergolakan politik besar di Kedah dengan penyingkiran mantan menteri besar Dato’ Seri Paduka Mukhriz Mahathir yang telah banyak membantu dalam mempercepatkan semula projek ZIPY ini.

Dengan kepimpinan baru kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, apakah yang bakal berlaku kepada projek ZIPY dan lebih penting apakah nasib yang bakal menunggu Merapoh yang dinasihati oleh Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Tajuddin Ramli? Mampukah Kerajaan Persekutuan dan negeri Kedah di bawah menteri besar yang baru menguruskan projek ZIPY ini seperti yang telah dirancang oleh pihak pengurusan Merapoh? Atau apakah kita akan saksikan perubahan yang luar biasa ke atas Merapoh oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri selepas perletakan jawatan Dato’ Seri Mukhriz?

Apa pun yang bakal berlaku kepimpinan baru Kedah bukan saja perlu menguruskan cabaran politik tempatan di Kedah yang semakin meruncing malah lebih penting mengurus pelaburan kerajaan China yang semakin dihambat rintangan geopolitik dan geo-ekonomi di dua rantau penting Timur Tengah dan Laut Cina Selatan yang menghimpit negara kita.

Projek ZIPY bukan sebarang projek malah ianya adalah salah satu jaringan logistik Laluan Sutera moden yang penting dalam mengangkut bekalan tenaga China dalam usaha mereka mengurangkan risiko geopolitik di kedua-dua rantau bergolak tersebut. Sungguh besar tanggungjawab ini buat kerajaan negeri Kedah – sesuai dengan pelaburan yang bakal masuk dan risiko yang akan diambil.


Wan Ahmad Fayhsal adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Ulasan

Catatan Popular