Apr 28, 2009

SURAT MAKLUM BALAS TEKUN NASIONAL ATAS KELEWATAN PROSES KELULUSAN PEMBIAYAAN

TEKUN / KPE / 10 / 02 ( 50 )

27 April 2009


Pengarang ( Ruangan Forum )

Utusan Malaysia, 46 M Jalan Lima

melalui Jalan Chan Sow Lin

55200 KUALA LUMPUR

No. Fax : 03-9222 7876


Saudara,


PER : ADUAN ENCIK NOR HODA BIN HAJI TARSEH MENERUSI RUANGAN FORUM UTUSAN MALAYSIA PADA 23 APRIL 2009.


Dengan hormatnya merujuk perkara tersebut di atas, bersama-sama ini disertakan jawapan kepada aduan tersebut dari pihak TEKUN Nasional.


Dengan hormat dan takzimnya, pihak TEKUN Nasional ingin memberikan jawapan kepada aduan yang dikemukakan oleh Sdra. Nor Hoda bin Haji Tarseh dari Puchong, Selangor yang disiarkan dalam ruangan ini pada 23 April 2009.


Terlebih dahulu, selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh Sdra Nor Hoda atas kelewatan mendapatkan pembiayaan pinjaman dari TEKUN Nasional sepertimana yang diadukan.


Untuk makluman saudara dan semua pemohon yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dari pihak TEKUN Nasional masakini, terdapat kelewatan dalam urusan memproses permohonan tersebut disebabkan oleh jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh TEKUN Nasional mulai awal tahun ini adalah diluar jangkaan. Dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja tahun 2009 ini, pihak TEKUN Nasional telah meluluskan dan mengeluarkan pembiayaan pinjaman sebanyak RM 162 juta kepada 14,391 orang usahawan. Dalam masa yang sama juga, sehingga 15 April 2009, TEKUN Nasional sedang memproses permohonan pembiayaan pinjaman dari 8,904 orang pemohon dengan nilai permohonan sebanyak RM 221 juta. Untuk makluman semua pihak, pembiayaan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh TEKUN Nasional pada tahun 2008 adalah berjumlah RM 358 juta berbanding dengan pembiayaan yang dikeluarkan pada tahun 2007 adalah hanya RM 127 juta.


Pada tahun ini jumlah permohonan pembiayaan dijangka akan terus meningkat disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang mendorong ramai rakyat negara ini menceburi bidang usaha niaga bagi menjana pendapatan mereka lebih-lebih lagi dikalangan mereka yang diberhentikan kerja. Oleh yang demikian TEKUN Nasional telah menjadi institusi tumpuan bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perniagaan.


Disamping itu, dalam kesempatan ini juga, saya ingin merayu kepada para peminjam dan usahawan TEKUN yang sediada, supaya dapat membuat bayaran balik pinjaman mereka sepertimana yang dijanjikan, oleh kerana wang bayaran balik tersebut yang diterima oleh TEKUN Nasional akan disalurkan pula kepada pemohon-pemohon yang baru. Sekiranya bayaran balik ini lambat diterima oleh TEKUN Nasional, maka ianya juga akan menyebabkan kelewatan menyalurkan pembiayaan pinjaman kepada pemohon-pemohon yang baru yang memerlukan.


Adalah juga dimaklumkan, sekiranya para usahawan TEKUN menghadapi masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka disebabkan oleh kegawatan ekonomi, maka mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai TEKUN di Pejabat-pejabat TEKUN yang mereka berurusan diseluruh negara untuk menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

Sehubungan dengan ini juga, TEKUN Nasional ingin memaklumkan bahawa semua permohonan yang diterima oleh Pejabat TEKUN diseluruh negara akan diproses dan diberi pertimbangan yang sewajarnya secepat yang mungkin.


Berbalik kepada aduan Sdra Nor Hoda, saya sendiri telah menghubungi beliau untuk memohon maaf dan berjanji untuk mengatasi kesulitan yang dihadapinya dengan segera. Sekiranya saudara dan saudari mempunyai sebarang masalah dan kesulitan berhubung dengan permohonan pembiayaan dengan TEKUN Nasional harap dapat hubungi Unit Pengaduan Awam di bawah Jabatan Pemantauan dan Tugas-Tugas Khas TEKUN Nasional ditalian 03-90588550 atau e-mail terus kepada Encik Mohd Yusri Mohd Yusob, Ketua Jabatan berkenaan menerusi : yusri@tekun.gov.my


Bagi pihak TEKUN Nasional, saya juga ingin memohon maaf kepada semua pemohon yang terlewat mendapatkan pembiayaan pinjaman mereka. Insya Allah, saya dan warga kerja TEKUN Nasional diseluruh negara akan mempertingkatkan lagi kecekapan kami dari masa ke semasa bagi memantapkan lagi Sistem Penyampaian TEKUN Nasional selaras dengan amalan penambahbaikan berterusan TEKUN Nasional. Kami juga komited untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Insya Allah.


Sekian, Untuk makluman. Terima Kasih.


DATUK ABDUL RAHIM BIN HASSAN

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif

TEKUN Nasional.



KOMEN PARIMBUNIS :


1. Kepada peminjam TEKUN Nasional, saya juga merayu sebagaimana seorang CEO/MD merayu kepada masyarakat Melayu / Bumiputera yang beragama Islam untuk membuat kembali bayaran balik atas pinjaman yang telah dipinjam.


2. Kesian kepada usahawan lain yang amat memerlukan pembiayaan TEKUN. Kalau duit tak dak macam mana nak bantu usahawan itu.


3. Kerjasama semua pihak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh TEKUN adalah amat dihargai dan sudah pastilah usahawan yang mendapat pembiayaan itu dapat meneruskan survival ekonomi bagi menyara keluarga masing-masing dengan rezeki yang halal.

Post a Comment