Peringatan Sultan Azlan

petikan UTUSAN MALAYSIA


Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyampaikan titah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. – BERNAMA


KUALA KANGSAR 19 April – Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.

Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda.

Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.

“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.

Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.

Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.

Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain.


Komen,

1. PARIMBUNIS cukup kagum dan respek kepada Baginda DYMM Sultan Perak atas kearifan dan kematangan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Baginda DYMM Sultan.

2. Baginda langsung tidak mempunyai perasaan ingin membalas dendam terhadap manusia yang membuat kecoh di negari jajahan DYMM Baginda Sultan tempoh hari. Sempat memberikan nasihat lagi tuh!

3. Penyokong PR=PAS+PKR+DAP harus respek baginda Sultan yang langsung tidak ingin mengenakan tindakan tegas kepada mereka. Kalau ikutkan fikiran manusia yang jahil ilmu pengetahuan di dada (mcm aku ni) pastilah kita akan memastikan siapa yang cuba melawan pasti akan mendapat balasan. Tetapi inilah yang dikatakan kebijaksanaan DYMM Sultan Perak. Cukup berhati-hati dalam melakukan sesuatu. Tidak sama dengan pemimpin dan penyokong fanatik PR yang langsung tak beradap berguling di atas jalan dan memaki hamun DYMM Sultan Perak.

4. Kalau aku la penyokong pembangkang di Perak pasti akan berasa malu akan tindakan penyokong fanatik PR ini. Macam mana pulak dengan mereka yang menyokong PR di Perak?Tak terasa kah anda dengan "point" ucapan Baginda DYMM Sultan Perak semalam.!

Ulasan

Catatan Popular