Apr 16, 2009

JAWAPAN KE MANA AGENSI MECD DAN PERANANNYA?

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI


Penyerapan Fungsi-Fungsi Dan Agensi-Agensi Di Bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi


Adalah dimaklumkan bahawa Y.A.B. Perdana Menteri telah bersetuju supaya fungsi-fungsi dan agensi-agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah dibubarkan berikutan pelantikan Anggota-Anggota Pentadbiran yang baru pada Jumaat, 10 April 2009 diserapkan ke kementerian-kementerian lain seperti berikut:

(1) Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

(2) Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri;

(3) Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

(4) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri;

(5) Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya;

(6) Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat dipindahkan ke Kementerian Kewangan;

(7) Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah;

(8) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (MAJU) dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi; dan

(9) Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dipindahkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

2. Penyerapan fungsi-fungsi dan agensi-agensi di atas akan terus memastikan peranan-peranan utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, khususnya bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, memperluas dan mempercepatkan penglibatan Bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi akan terus diberi penekanan oleh Kerajaan.


Pejabat Perdana Menteri
15 April 2009
Post a Comment